TANGKAK - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan awal semata-mata kerana ada pihak yang mahu kembali berkuasa demi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut beliau, PH terpaksa berdepan pilihan raya itu bagi memastikan kestabilan negara dapat dikekalkan selain meneruskan kerjasama baik antara kerajaan negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan.
"Kita dengar tadi hujah-hujah diberikan Pilihan raya tak perlu sekarang. Dia paksa juga. Untuk apa sekarang? Sekarang kita dah tahu. Sebab mereka rasa mereka cukup kuat nak berkuasa kembali seperti dulu.
"Kemudian tentunya nak bebaskan Datuk Seri Najib," katanya ketika berucap pada program Jelajah Johor Ke Depan di Tangkak, Johor pada malam Ahad.
**media[3572828]**
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, beliau bersama rakan-rakan dalam PH memasuki pilihan raya itu bagi menjamin kestabilan negara dan memberi tumpuan kepada usaha mengangkat martabat rakyat Johor.
"Saya bersama rakan-rakan PH diheret, terpaksa masuk pilihan raya. Tanya saya untuk apa? Saya nak jamin negara ini stabil.
"Kerjasama Johor dengan PH dan kerajaan Persekutuan baik dan kita tumpu angkat martabat anak-anak negeri Johor," ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan Malaysia bukan sebuah negara miskin, sebaliknya masalah sebenar ialah ketamakan segelintir pihak yang menyalahgunakan kuasa sehingga menjejaskan pembangunan negara.
"Negeri ini bukan miskin. Malaysia bukan miskin. Selalu saya ulang kenyataan Mahatma Gandhi 'The world has enough for every man's need but will never be enough for every man's greed'.
"Kalau mahu hidup baik, Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban, Kadazan, cukup untuk hidup baik. Ada rumah, ada kerja. Tapi kalau kita mahu izinkan negeri ini balik macam dulu, curi sana, simpan sini, beli harta di London, beli harta di sana, meninggal dunia ada RM4 bilion, ada RM2 bilion, ini negeri tak boleh maju," tegasnya.
Justeru, Anwar menggesa rakyat membuat pertimbangan sewajarnya sebelum menentukan hala tuju negara, sambil mengingatkan pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran.
"Ini keputusannya. Saya minta semua dengar. Semua yang hadir fikir betul-betul negara ini nak bawa ke mana. Kita ada pengalaman lalu. Kita cuba baiki negara ini. Mesti jaga semua," katanya.
Beliau berkata, walaupun bertekad membela nasib orang Melayu agar tidak terus ketinggalan, tanggungjawab sebagai Perdana Menteri menuntut beliau menjaga kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
"Saya orang Melayu dan saya memang tekad mesti lakukan sebaiknya supaya orang Melayu jangan kekal miskin dan terpinggir. Tapi saya sekarang diberi mandat jaga negara ini.
"Saya mahu anak Cina itu merasakan, Perdana Menteri ini ialah Perdana Menteri kita yang membantu semua rakyat di negara ini.Anak India begitu. Saya pergi Sabah, kita runding. Di Sarawak, itu pendirian kita," katanya.
Pada masa sama, Anwar menegaskan, beliau tidak mahu kuasa digunakan untuk kepentingan keluarga atau mengulangi amalan yang menurutnya pernah berlaku sebelum ini.